Wednesday, 19 June 2013

Dialog filem tempatan paling diingati

Banyak dialog dalam filem yang begitu menyentuh hati. Namun begitu, ada juga dialog yang anda ingat kerana kelucuannya (sama ada memang memang sengaja atau tidak).
Kami telah memilih dan senaraikan beberapa dialog ataucatchphrase yang popular dalam filem-filem tempatan.
"Muka saya ganas, saya ni rempit, tapi dalam hati ada taman." (Adnan Sempit, 2010)
Filem ini merupakan antara filem paling laris di Malaysia, mungkin kerana menggunakan genre komedi untuk memaparkan kisah mat rempit dan juga kerana dialog-dialog lucu menggunakan banyak slanga golongan ini. Namun ayat di atas merupakan ayat yang paling disukai ramai dan acapkali digunakan oleh orang ramai.
"Siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka." (Ringgit Kassorga, 1995)
Filem lakonan Tiara Jacquelina dan Deanna Yusoff ini memaparkan kisah masalah pelacuran. Namun ia paling diingati kerana ayat yang disebut oleh watak Nina lakonan Deanna Yusoff ini. Entah sudah berapa kali dijadikan bahan jenaka di televisyen, kami juga sudah tidak dapat mengiranya.
"Bawah jambatan rupanya yang begitu tu ye?" (Nujum Pak Belalang, 1959)
P.Ramlee mempunyai banyak dialog filem yang akan terus diingati. Namun pada awalnya dialog antara ketua kampung dan watak Pak Belalang ini tidak begitu terkenal sehinggalah ia dipopularkan oleh Saiful Apek dalam sketsa "Senario" sehingga menjadi ikutan ramai.
"Yelah, teman takde SPM." (Zombie Kampung Pisang, 2007)
Mamat Khalid memang terkenal dengan watak-watak filemnya yang aneh dan lucu. Namun apa yang lebih lucu ialah dialog yang mereka ucapkan, apatah lagi apabila anda sedar anda juga pernah menyebutnya atau menggunakan nada yang sama. Contohnya, nada kecil hati watak Usin lakonan Awie apabila menyebut ayat di atas apabila dia merasa jengkel dengan dresser kampung mereka yang lebih dihormati daripada dirinya.
"Pokemon punya dragonball." (Sumolah, 2007)
Afdlin Shauki telah menghasilkan banyak filem-filem daripada pelbagai jenis genre, termasuklah filem "Sumolah". Apa yang melucukan daripada ayat yang digunakan oleh wataknya di dalam babak ini ialah asal-usul ayat ini yang sebenarnya berunsurkan kata-kata carutan yang telah diubah agar boleh digunakan dalam filemnya.
"Daripada kita buang masa dengar cakap si Usin ni, baik kita bako je rumah Kak Limah tu." (Hantu Kak Limah Balik Rumah, 2010)
Usop Wilcha merupakan antara watak yang paling kelakar dalam filem arahan Mamat Khalid ini dan apa saja yang diucapkannya dijadikan bahan oleh penonton. Bukan sahaja beberapa dialognya dijadikan kemeja T, nama grup di Facebook dan barangan memoribilia yang lain, malah watak lakonan Syed Mohammad Asri (Shy8) ini juga sudah menjadi penyampai di Hot FM. Siapa yang ada kemeja T "Kite bako!", angkat tangan macam saya.
"Walaupun rupamu tak ku kenal tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku." (Seniman Bujang Lapok, 1961)
Satu lagi filem yang memiliki banyak dialog yang diingati adalah "Seniman Bujang Lapok". Setiap karakter, dari sekecil-kecil Aci yang mahu meninggalkan rumah sehinggalah trio bujang lapok, setiap orang mempunyai catchphrase tersendiri yang diingati sehingga sekarang. Tanya sahaja Kuswadinata dan wataknya sebagai Abang Kus. Malah dialog Aziz Satar ini merupakan antara dialog yang tidak diskripkan.
"Tipah tertipu, bang. Tipah tertipu." (Ali Setan, 1985)
Ya, ini antara dialog yang paling popular bukan saja kerana ia disebut oleh Dato' Sheila Majid, tetapi juga kerana ia dipopularkan semula dalam "Senario" dan juga dijadikan lagu oleh Cat Farish dari kumpulan urban Ruffedge. Siapa lagi boleh berlagak kata dialognya mempunyai begitu banyak impak dan dijadikan rujukan budaya pop?
"Dah kahwin ke belum?" (Gila-Gila Remaja, 1985)
Jika anda seorang perempuan yang lahir sebelum tahun 1990, anda pasti pernah dipikat dengan ayat ini paling kurang sekali dalam hidup anda. Ya, cara memikat yang tidak asli ini hasil daripada babak dalam filem "Gila-Gila Remaja" lakonan Faizal Hussein sebagai Azroy.
"Berapa kali kau nak malukan aku ha?" (Perempuan, Isteri Dan..., 1993)
Dari sudut teknikal, mungkin filem ini menaikkan nama Nasir Bilal Khan kerana lakonannya yang mantap. Namun dari sudut pandangan orang ramai, Nasir Bilal Khan menjadi terkenal kerana semua orang mengira berapa banyak "Ha" yang digunakan dalam filem ini.
"Siapa yang nak jantan? Aku nak lelaki!" (Pesona Cinta, 1995)
Sekali lagi, jika anda dilahirkan sebelum tahun 2000, anda pasti pernah menyebut ayat ini setiap kali teman-teman anda mengusik anda. Ayat yang diucapkan watak lakonan Ida Nerina ini merupakan ikutan ramai selepas filem ini ditayangkan pada tahun 1995.
Jadi apakah dialog kegemaran anda?

No comments:

Post a Comment