Saturday, 27 July 2013

(17 GAMBAR)Sekitar Tayangan Perdana The Wolverine Written by serenity | July 27th, 2013

The Wolverine telah memulakan tayangannya di pawagam-pawagam Malaysia Khamis lepas. Kali ini filem ini menggunakan latar belakang Jepun sebagai inipati keseluruhan ceritanya. Menurut pengarah filem ini, James Mangold, filem ini banyak dipengaruhi filem-filem Samurai Jepun seperti 13 Assassins dan trilogi samurai Hiroshi Inagaki tentang Musashi Miyamoto; dari filem koboi Shane and The Outlaw Josey Wales; filem jenayah The French Connection dan Chinatown; serta drama Black Narcissus, Floating Weeds, Chungking Express dan Happy Together.



Kata Hugh Jackman, ini ialah kemunculan keenam beliau sebagai Logan atan Wolverine dalam filem. Kali ini, Hugh telah melakukan sehabis dayanya untuk mendapatkan badan yang paling sasa dan paling kurang lemak, dan usahanya itu berjaya kerana dalam film ini, badannya kelihatan mengkagumkan.

Menurut Hugh lagi, dia telah mendapatkan nasihat dari pelakon atau penggusti terkenal, Dwayne Johnson atau The Rock mengenai cara pemakanan terbaik untuk mendapatkan tubuh yang paling ideal untuk Wolverine seperti yang diinginkannya. Selama enam bulan, dia telah mengambil makanan dengan 6000 kalori sehari namun tidak boleh mengambil makanan berlemak di samping bersenam secara gigih di gimnasium. Untuk itu dia terpaksa makan dada ayam dalam jumlah yang banyak. Selepas enam bulan dia menghabiskan penggambaran dan memberitahu secara berseloroh:-

Saya tidak akan makan dada ayam lagi untuk menu tengah hari.

Dia juga telah mengamalkan satu tip iaitu tidak minum atau mengambil sebarang cecair selama 36 jam sebelum melakonkan setiap adegan yang memerlukannya tidak memakai baju. Katanya, petua itu sangat berkesan kerana proses dehidrasi mengetatkan tubuh dan memberikan otot-otot lebih definisi dan dia sangat berpuas hati dengan hasilnya.

Menurut Hugh, watak Wolverine tidak boleh mati kerana faktor tubuhnya yang boleh merawat diri sendiri secara automatik, sementara orang-orang yang disayanginya telah atau akan mati menjadi tema utama untuk filem ini:-

Dia sedar semua orang yang dia sayang telah mati, dan dia hidup penuh kesakitan. Jadi dia fikir lebih baik kalau dia menghilangkan diri. Dia tak boleh mati. Dia cuma mahu tinggalkan semuanya.

Hugh juga berpendapat hubungan Wolverine dengan Jean Grey, watak yang dilakonkan oleh Famke Janssen adalah satu elemen yang penting yang ditekankan dalam filem ini.

Filem ini menarik kerana keindahan lanskap serta seni pertahanan diri Jepun yang ditampilkan, termasuk falsafah samurai dan ninja. Filem ini turut menampilkan Will Yun Lee (Harada), Rila Fukushima (Yukio), Tao Okamoto (Mariko), Hiroyuki Sanada (Shingen) dan Svetlana Kodchenkova (Viper).

Kami telahpun menonton filem ini semalam dan boleh dikatakan filem ini memaparkan aksi pertarungan terbaik setakat ini, mungkin lebih baik dari aksi-aksi dalam filem Man of Steel yang banyak menggunakan CGI.

Lagi 15 gambar dari majlis tayangan perdana The Wolverine di London. Kredit gambar, Facebook The Wolverine.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...