Wednesday, 21 August 2013

Ohsenyum : Pusat Tahanan Arab Paling Mewah



pemulihan mewah

Militan Arab Saudi yang ditangkap di negara itu dikatakan tidak berdepan dengan suasana penjara seperti sepatutnya, malah disediakan “pemulihan mewah.”Menurut media, kerajaan Arab Saudi berharap dapat menarik militan al-Qaeda daripada pegangan agama melampau melalui kaunseling, rawatan spa serta riadah di pusat tahanan mewah.



Agensi berita tempatan melaporkan, pusat tahanan itu yang dibina dengan peruntukan besar menyediakan kolam renang tertutup bersaiz Olimpik, sauna, gimnasium dan dewan menonton televisyen. Bagi tahanan yang berkelakuan baik, mereka mungkin diberi cuti dua hari untuk bertemu isteri masing-masing di sebuah suite khas di dalam kompleks berkenaan. 


Pusat tahanan terbaru di Riyadh itu akan menempatkan tahanan yang mempunyai cita rasa mewah sebagai galakan supaya lebih bersederhana dalam memahami agama. Semua lima pusat tahanan khas itu diberi nama Menteri Dalam Negara Arab Saudi yang mengetuai gerakan membasmi al-Qaeda di negara itu.

Penjara mewah mengutamakan kesihatan terbaik

Penjara mewah di Riyadh itu dibina di kawasan seluas kira-kira 10 padang bola dan direka untuk menempatkan 228 banduan daripada “kumpulan sesat” - istilah digunakan kerajaan merujuk kepada al-Qaeda.Setiap satu daripada 12 bangunan di situ akan menempatkan 19 banduan yang disediakan ruang suite bagi memberi peluang mereka bertemu ahli keluarga yang datang berziarah.


Ketika siang, banduan terbabit dikehendaki menghadiri seminar mengenai Islam untuk mendidik mereka memperbetulkan salah faham yang dilakukan melalui jihad.Pengarah penjara itu, Said al-Bishi berkata, dalam usaha memerangi keganasan, mereka perlu memberi keseimbangan intelektual dan psikologikal.


“Ia dapat dicapai melalui dialog dan pujukan,” katanya. Said berkata, setakat ini seramai 2,336 tahanan al-Qaeda menjalani rawatan di situ.Bagaimanapun, tidak semua tahanan bersedia menerima pendidikan yang disediakan di situ.Malah, kata Said, kira-kira 10 peratus banduan yang melalui program itu kembali ke kumpulan militan masing-masing.

“Ada beberapa individu berprofil tinggi sebaliknya menjadi lebih ganas,” katanya.Sementara itu, pengkritik berkata, arahan yang diberikan terhadap tahanan di pusat itu tidak cukup sederhana dan terlalu hampir dengan pentafsiran militan terbabit mengenai pandangan al-Qaeda. -mymetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...